Sunday, April 10, 2011

MALAM KELIWON

SIRI CERITA PENDEK ISNIN (Ceripendisnin)
MALAM KELIWON

Kisah ini antara kisah yang sudah puas ku lupakan namun buktinya masih lagi dihadapan mata. Bukti itu masih menghantui aku setiap kali aku pulang dari kerja. Ia masih tetap menakutkan aku sehingga hari ini. Menghela nafas panjang, aku tatap bukti itu sepenuh-penuhnya. Tak aku sangka ia boleh jadi sebegini.

Semuanya bermula pada suatu malam tatkala aku baru sahaja habis menyiapkan kerjaku di Cyberjaya. Bekerja dibahagian teknikal, waktu kerjaku tidak seperti kerjaya profesional yang lain yang mampu tidur enak dibuai belaian isteri dan tawa anak. Namun, demi mencari modal-modal untuk aku merasa belaian isteri dan anak-anak, aku pantas sudahkan kerjaku.

Waktu menjangkau pukul 2 pagi. Aku lekas-lekas mengemaskan meja kerjaku, menyimpan fail dan lakaran-lakaran yang berselerakan. Komputer riba aku tutup rapi.  Dengan pantas aku menutup semua lampu pejabat, mengunci apa yang patut dikunci dan bergegas ke keretaku rumah keduaku. Setelah melambai-lambai pejabat yang tercinta, aku pun menyusur laju ke Dengkil, melalui jalan lama.

Aku memang gerun lalu jalan lama. Kalau bukan kerana jalan ke Salak Tinggi tu belum siap, memang aku tidak akan lalu jalan lama yang lampu jalan persis lampu ayam sahaja terangnya. Yang menggerunkan aku ialah aku terpaksa lalu bukit yang dipenuhi kubur cina. Kalau sesiapa yang selalu balik ke Dengkil waktu malam ikut jalan lama pasti akan berjumpa kawasan perkuburan cina. 

Tapi malam ini memang amat berlainan. Dari jauh selekoh aku perasan bayang putih. Bukan satu tapi dua. Dengan berbekalkan cermin mata yang sudah lama aku tidak tukar, aku cuba mengamati bayang itu. Maklumlah lampu bukannya terang sangat. Tapi makin dekat aku menghampiri bayang itu, bau makin harum. Aku dah mula berpeluh. Dikala berpeluh-peluh itu aku tambahkan lagi had penyaman udara kereta tapi masih berpeluh dan bau harum itu masih dapat dihidu. Aneh, aku tidak pula beli Ambi-Pur apatahlagi Tambi-Pur. Sedang aku ambil selekoh, kereta aku tergelincir dan hampir-hampir terhumban ke longkang besar. Berbekalkan taktik dan teknik memandu yang aku khatamkan di litar go-kart, aku berjaya mengawal kereta dari terjun tiruk ke longkang.  Bau minyak dan hangit tayar pekat menusuk hidung.
“Celaka!”, getus hatiku sambil aku menggosok-gosok mata. Cermin mataku jatuh. Harapnya tidak pecah.

Dalam menghidu bau yang tidak menyenangkan itu, aku terbau bangkai bercampur wangian. Aku cuba hidu ketiakku, manalah tau aku sumber bau-bau yang tidak menyenangkan itu namun aku tahu usahaku menipu diri sendiri itu tidak dapat menyelamatkan perasaan berdebar ku. Sebab dalam samar-samar kerabunan, aku lihat bayang putih tadi semakin lama semakin pantas menghampiri. Dia berlari dengan pantas kearahku!

“Ah, masa ini pula hendak hilang cermin mata ni”, sambil aku meraba-raba tempat alas kaki. Tapi bayang itu semakin dekat. Aku nekad. Getar kaki sudah tidak boleh aku pasung lagi. Tanganku menggelatar persis orang kena penyakit Parkinson tahap kritikal. Oleh kerana aku semakin takut, aku tendang sahaja pintu kereta dan terus mencapai pengunci stereng kereta dan menghayun-hayunkan ke arah bayang itu.

“Pergi! Pergi! Jangan ganggu aku! Celaka kau Iblis, Syaitan, Hantu, Jembalang, Mambang Laut, Mambang Tanah”, teriakku sekuat hati. Dengan berbekalkan kegagahan aku mengacah-acah sambil membuka kuda-kuda silat yang aku curi-curi belajar dari tingkap hostel di MMU satu ketika dahulu. Entah betul entah tidak, hentam sahajalah.

Tapi yang anehnya, aku terdengar suara garau ketawa terbahak-bahak. Satu lagi suara pula mengekek-ngekek bersilang menghilai tawa. Sudahlah aku ketakutan, boleh pula si celaka ini mentertawakan aku. Aku jerkah.
“Kau orang ingat aku buat lawak yang kau orang hendak gelak-gelak?! Kalau lawak sila undi 20 seperti yang tertera”, tersampuk idea bodoh dalam masa-masa kecemasan sebegini. Bertambah-tambah mengilai dan ketawa garau bayang tadi. Lutut aku dah tak tahan, pundi kencing ku lagilah tidak tertahan. Aku lari lintang pukang sebab aku tahu bayang tadi tak langsung tak gerun apatahlagi hendak undi 20 pada lawak spontan aku itu. Aku buka langkah, ala-ala Watson Nyambek, aku memecut lari jauh dari mereka.

Tapi belum pun beberapa meter aku pecut, bayang tadi pun memanggil,
“Hoi Jaapar, yang kau mengarut tu kenapa?! Ini akulah Asmadi! Tunggu woi!”
Aku terhenti, mengepam seberapa banyak nafas yang boleh, setelah lututku menjamah ketul-ketul kerikil akibat jatuh. Asmadi datang mendapatkanku dan membantuku bangkit. Pedih lututku. Pedih lagi hatiku.

“Aku baru pulang dari Masjid Dengkil tu. Itulah kau, hari itu aku ajak kau sombong sangat. Yang kau lari lintang pukang tu kenapa? Nampak hantu ke?”, tanya Asmadi.

“Hah?Patutlah aku nampak bayang putih, rupanya kurtah(1) kau. Nasib baik kau tak terbang atau kejar aku tadi. Kalau tidak, aku lari macam anjing”, jegil dan cebik memainkan peranan mengolah raut wajahku menampakkan riak-riak menluat dan malu.  Aduhai, rupanya aku tersalah sangka.

“Sudahlah tu. Buruk benar muka kau. Kawasan ni memang bahaya. Tengah hari tadi ada lori tertumpah minyak kat selekoh sebab kemalanangan. Itu yang licin sedikit.  Nasib baik kau tak apa-apa.”, Asmadi terkekek-kekek sambil membantuku bangun. Asmadi pun sama sahaja hamisnya. Mungkin sebab kejar aku tadi.

“Nah, ambil kain pelikat ni ganti seluar kau yang koyak tu. Jom periksa kereta kau”, gesa Asmadi.
Aku dengan pantas tukar kain sebab sebenarnya aku sudah terkencing dan lutut seluarku sudah koyak. Setelah memeriksa kereta dan mendapati tiada kerosakan apa-apa, aku pun menumpangkan Asmadi dan adik Aswadi ke rumah mereka.

                Sampai ke hari ini bilamana aku melihat lututku yang menggerutu dan seluarku yang sudah aku jadikan kain pengelap kereta, aku terbayang bukti-bukti kenangan yang menggerunkan. Sejak aku pindah rumah sewa, tiada lagi bayang putih ataupun bau harum.

Tapi aku masih terngiang-ngiang hilaian tawa siapa yang mengiringi ketawa garau Asmadi. Bau harum itu pun mengganggu tumpuan. Aku malas hendak fikir dan biarkan ia hilang dibalik ingatan.

Glosari

2 comments:

  1. asal version kau mcm tak best aa ? adoi. tune lari bai. tak lawak langsung -__-''

    ReplyDelete
  2. inilah pentinya hantu education :p

    ReplyDelete